Friday, September 17, 2010

Sedikit Cerita Pasal Raya

Semenjak 1Syawal yang lepas, aku menghadapi kesukaran menstabilkan semula waktu bertugas organ dalam perut aku. Standard la bulan puasa, perut aku akan rileks tak berkerja di siang hari. Waktu malam je perut beroperasi. Tiba-tiba je genap sebulan berpuasa, perut aku disumbat beraneka jenis juadah raya tak kira siang sampai ke malam. Kalam-kabut usus perut aku mengisar makanan. Kadang-kadang terasa macam ada gunung berapi tengah meletup dalam perut aku. Maka gebulah semula tubuh aku yang telah mencapai tahap ideal ketika di bulan puasa yang lepas. Huhuhu..

Macam biasa, aku tak akan bercuti panjang setiap kali hari raya kerana kampung aku terlalu dekat. Tunggulah lepas berkahwin nanti. Pasti kampung ayahanda dan bonda mertua jadi destinasi balik kampung aku. Maka aku akan berteman dengan unsur-unsur kesunyian di opis dikala rakan-rakan sekerja yang lain masih berhip-hip horey beraya di kampung halaman mahupun di Hong Kong.

Lihatlah keadaan opis aku yang sunyi menambahkan lagi rasa seram-seram sejuk bila aku duduk berseorangan di dalam opis.









Filem tamil yang aku tunggu-tunggu untuk tahun ini. Endhiran (The Robot) khabarnya akan release hujung september ini di India (tayangan kat Malaysia, aku tak tahu bila). Pelakon utamanya Superstar Rajinikanth yang menjadi pelakon tamil pujaan aku sejak aku darjah 2 lagi. Heroinnya pelakon wanita Hindustan Aishwarya Rai yang amat-amat diminati oleh Encik AlifStyle (editor Komik-M). Dengar cerita dalam bilik tidur Encik Alif ada tertampal poster Aishwarya Rai besar pintu bilik. Wahahaha.. Alif, kalau ada lagi Poster Ashwarya Rai, hulur-hulur la kat aku satu. Saksikan la trailer filem ini yang heibat sementara menunggu DVD original mahupun cap cetak rompak dijual di Malaysia.

Thursday, September 9, 2010

Hip-Hip Hurey..

Alhamdulillah sekali lagi diberi peluang menyempurnakan ibadah puasa di bulan Ramadhan. Kini tiba masanya menyambut hari kemenangan. Dalam kita bergumbira menyambut hari kemenangan, jangan la kita alpa mahupun terleka. Bagi mereka yang drive pulang ke kampung tak kira menggunakan jentera berkuasa kuda mahupun berkuasa gajah, sila berhati-hati di atas jalan raya. Sayangi nyawa anda dan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Buat mereka yang telah pergi dulu mendahului kita, sama-samalah kita sedekahkan Al-Fatihah. InsyaALLAH hari kita akan tiba juga nanti. Itu janji Yang Maha Esa kepada kita umatnya. Bagi yang belum menunaikan zakat fitrah, sila tunaikan tanggungjawab anda. Jangan pulak kata tak sempat, banyak je kaunter pungutan zakat dibuka merata-rata.

Raya tahun ini aku akan beraya sambil bertemankan pen, pensil, kertas, getah pemadam dan juga pembaris. Akan banyak menghabiskan masa beraya dalam bilik sendiri. Hope korang semua akan berhip-hip hurey beraya dengan insan-insan yang korang sayang. Sila buat lompatan hip-hip hurey macam gambar di bawah..
Untuk buat raya korang lebih berhip-hip hurey, jom dapatkan Komik-M Raya #1 dan #2 beserta komik Kad Raya Dari Syurga dan Baju Raya Dari Syurga di pasaran sekarang. Boleh anda membaca komik tentang sambutan hari raya sambil menunggu sanak-saudara dan sahabat-handai yang akan datang beraya di rumah anda.
Serius best..
Akhir kata buat korang semua, aku menyusun sepuluh jari tangan memohon maaf diatas kelazeran kata-kata yang tercoret diblog ini. Buat insan yang aku sayang.. Selamat hari raya dan selamat memakan kueh mama carey.

Wednesday, September 1, 2010

Gurindam Merdeka

Aku anak selepas merdeka. Langsung tak berkesempatan merasai kejamnya muncung senapang penjajah. Tak pernah rasai bagaimana kacaunya jiwa bila terasa bangsa ditindas dan diseksa oleh penjajah. Yang dapat aku kecapi cuma bunyi bising dentuman bunga api setiap kali menjelang detik 12malam 31Ogos. Bunyi lalakan ekzos motosikal buatan Jepun yang dipandu secara kamikazi oleh remaja berani mati. Bunyi tangisan bayi yang ditinggalkan tanpa botol susu di dalam tong sampah hanya berselimut kertas surat khabar lama mahupun surat khabar semalam dan masih bertali pusat. Adakah aku bertuah dilahirkan selepas merdeka?

Aku keluarkan sekeping duit kertas bernilai RM 1.00 dari dompet yang ku beli di Up Town 2tahun lepas. Ada gambar Tugu Negara di belakang duit kertas itu. Seingat aku, arwah ayah pernah membawa ku melihat Tugu Negara. Waktu itu aku masih kecil berhingus meleleh cantik di pipi. Arwah kata ini tempat memperingati kesatria-kesatria negara yang gugur di medan perang dalam mempertahankan negara. Waktu itu aku tak faham apa itu kesatria-kesatria negara. Yang aku tahu cuma Kesatria Baja Hitam. Lagi sekali aku bertanya, adakah aku bertuah dilahirkan selepas merdeka?

Aku belek Komik lukisan seorang lelaki berjiwa kental bernama Azhar Abdullah. Malangnya beliau turut dilahirkan selepas merdeka seperti diriku juga. Tetapi karya Pendekar Melayu Terakhir yang beliau muntahkan di atas kertas putih bagai memberitahu perasaan beliau apabila kebebasan, maruah dan hak bangsa dirampas oleh bangsa asing. Ahh.. Aku tidak mahu terus bergurindam lagi. Pergilah kamu semua ke kedai buku membeli sendiri komik ini. Rasailah apa yang Azhar Abdullah rasai. Nanti baru kamu tahu adakah aku ini sangat bertuah dilahirkan selepas merdeka? Sebelum kamu berlari ke kedai buku mendapatkan komik ini, sila dengar dulu apa yang Azhar Abdullah mahu katakan..