Friday, December 16, 2011

Novel

Sejak akhir-akhir ini, akak-akak dan makcik-makcik yang kerja satu opis dengan aku bagai terkena santau angin asyik bercerita tentang filem Ombak Rindu (OR) adaptasi novel nukilan Fauziah Ashari. Novel OR yang diterbitkan sekitar tahun 2002 telah diangkat oleh Osman Ali selaku pengarah hingga mencatat kutipan juta-jutaan di pawagam malah berjaya menumpahkan bergelen-gelen air mata wanita (malah ada juga air mata lelaki) yang menonton filem OR ini. Sememangnya ia telah mencetuskan fenomena dalam industri novel tempatan. Firasat aku selepas ini akan banyak lagi novel-novel yang bakal diterjemahkan ke bentuk filem. Walaupun kutipan tayangan OR pecah panggung, aku bukanlah salah seorang penyumbang angka kutipan itu. Hehehehe.. OR bukan taste aku walaupun heroinnya Maya Karin (^_^)

Serius cakap la kan.. aku sememangnya bukan pembaca novel yang tegar. Paling heibat pun aku cuma boleh baca sesebuah novel sampai page ke3 sahaja. Selepas tu aku terus terlentuk tidur. Inilah penyakit aku sejak belasan tahun hingga sekarang. Namun tahun ini sebuah novel telah berjaya merawat penyakit itu.


Ya.. Inilah Novelnya. Janji Julia (JJ) hasil tulisan Maria Kajiwa. Kenapa aku boleh hadam membaca isi novel ini dari awal cerita sampai ke akhir? Kerana membaca JJ ibarat menonton sebuah filem thriller buatan Malaysia yang langsung tidak membuatkan aku rasa mengantuk . Suspennya disusun teratur hingga ke klimaks cerita dan diakhiri dengan pendaratan emosi yang puas malah disokong dengan penyampaian secara santai dan sifar kesalahan ejaan (good job editor novel JJ). Inilah first time aku merasai betapa bestnya membaca novel. Aku dapat bayangkan kalaulah Novel JJ diadaptasikan ke filem seperti Novel OR, tentu sesuatu yang heibat.. Terutama scene puluhan kenderaan yang melalui Lebuh Raya Utara Selatan diserang hendap pasukan tentera pemberontak No-Mondus. Akan ada aksi letupan, kereta terbakar, mayat terburai bergelimpangan. Namun persoalannya, ada tak mana-mana produser filem yang sanggup melabur bajet besar merealisasikan 'live action' novel ini?. Usah risau, masih banyak lagi judul novel-novel cinta jiwang di luar sana yang boleh diangkat menjadi filem (^_^)


Sehingga kini aku masih mencari novel kedua selepas JJ yang boleh aku hadam isi kandungnya namun belum diketemukan lagi. Malah ada satu persoalan yang bermain di benak fikiran ini, adakah akan ada komik tempatan yang bakal di 'live action' kan? Ah! aku tidak mahu berfikir banyak sangat. Takut kepala penuh uban nanti. wahahahahehehe..

Saturday, December 10, 2011

Lalalala.. Hari-Hari Kerja..

Ketika masih bekerja di tempat lama dulu, Disember adalah bulan yang sangat banyak kerja harus dibuat. Malah cuti juga dibekukan. Itulah situasi kalau bekerja di account dept. Nak tutup akaun la, mohon peruntukan tambahan la, penyata hasil la dan macam-macam lagi. Kadang-kala terpaksa berkampung atau berumah teres setinggan di opis untuk menyiapkan kerja-kerja yang berlambak. Selepas terima tawaran jawatan baru yang totaly tiada kaitan dengan urusan-urusan kewangan, hati sangat 'gumbira' kerana berpendapat bulan Disember bagi tahun-tahun mendatang bukan lagi bulan untuk berkerja keras. Boleh bersenang-lenang sambil menghabiskan cuti yang masih ada.


Tetapi aku tersilap sebenarnya, bekerja di tempat baru ini pun situasinya hampir sama macam tempat kerja lama. Makin nak 31hb Disember, makin berlambak-lambak kerja yang datang. Nak bercuti juga tidak boleh. Terpaksalah siapkan kerja sambil nyanyi lagi 'Lalalala.. hari-hari kerja'.


Bestnya orang itu sedang bercuti-cuti di bandar yang banyak sejarah. Hehehehe...

Monday, December 5, 2011

Disember Adalah Bulan Penutup Tahun 2011 Yang PADU!

Wooha! Assalamualaikum semua. Aku sudah mula terasa sedikit gabra bila tersedar sekarang ini sudah masuk bulan disember iaitu bulan terakhir dalam kiraan kalender tahun 2011. Perasaan suam-suam cemas membalut erat ketat-ketat dari ulu hati hingga ke hujung pundi kencing. Masih banyak misi mahupun agenda yang belum terlaksana. Harapnya dapat habiskan sedikit demi sedikit apa yang telah dirancang agar dapat mengurangkan sedikit tekanan dalam tahun 2012 nanti. InsyaALLAH tahun 2012 juga bakal melaksanakan misi tahap MEGA dalam sejarah hidup. Bila terlaksananya misi tahap mega itu, ibarat sempurnalah separuh dari agamaku. Semoga dipermudahkan segala apa yang dirancang. Amin..

Ehem.. ehem.. sudahkah anda mendapatkan Antologi Aku, Kau & komik - Koleksi Popular? Belum! Elok segera pergi ke rangkaian Kedai Buku Popular. Beli komik ini kerana ianya boleh diketogerikan sebagai item paling 'rare' di muka bumi. Serius cakap ni.. Beli tau jangan tak beli pulak..


Thursday, November 3, 2011

Assalamualaikum..

Wow! lama sungguh blog ini tidak diupdate. Maka hari ini ianya akan diupdate sebab ada sesuatu untuk ditulis. Setelah hampir 4bulan bertungkus-lumus (Tapi kalau betul-betul bertungkus-lumus, sebulan je komik ini sudah siap. heheheh...), makanya siaplah sebuah komik bertajuk Dunia Kartun : Lawak Budak Sekolah (LBS). Komik ini aku dedikasikan buat gadis istimewa yang menjadi sumber inspirasi dan sumber kekuatan pada aku. Juga untuk korang yang tak jemu-jemu bersabar menunggu karya terbaru aku yang tak lah best sangat ini. Korang semua memang cool!

Untuk makluman korang, Komik LBS telah diserahkan ke tangan Encik Editor (rujuk gambar di bawah) untuk proses-proses selanjutnya. Doakan semuanya berjalan dengan lancar dan seterusnya aku pula akan memulakan penghasilan komik baru. Kena cergas melukis beb! demi masa depan yang lebih cemerlang.


Encik editor Wanzu dan Lobak dalam acara penyerahan komik LBS



Yang ini pula ialah komik Aku, Kau & Komik - Koleksi Popular setebal 400 mukasurat. Menghimpunkan sebanyak 30komik karya pelukis-pelukis Komik-M. Tetapi Komik setebal kamus ini hanya boleh dibeli di rangkaian Kedai Buku Popular sahaja. Kalau cari di kedai buku yang tidak menggunakan nama Popular, sampai kiamat pun tidak akan berjumpa dengan komik ini. Harganya RM 24.90 dan ada 3 komik aku di dalamnya. Rugi kalau tak beli komik ini kerana ianya sangat 'rare'.. Okeylah, sehingga berjumpa di entri yang akan datang, korang jaga diri baik-baik tau! sayonnara..

Friday, September 2, 2011

Hari Raya Aku Yang Cool!

Hari ini sudah 2september persamaan 4syawal. Jemputlah hantar gambar berhari raya korang sambil memegang komik Kecemprengman dan hantar ke sini. Besar kemungkinan korang akan dapat hadiah 'Komik Raya : Misi Menyelamatkan Puan Ainon' yang sangat rare! Cepat beb!

Suasana hari raya bila usia sudah menjangkau dewasa sangatlah tidak semeriah ketika zaman kanak-kanak rebina. Ada masanya aku rasa hari raya hanyalah cuma waktu aku boleh kembali makan dan minum di siang hari depan khalayak awam. Ada yang menasihati aku supaya bersegeralah berkahwin, pasti sambutan hari raya aku akan jadi lebih bererti dan lebih hangat dari biasa. Yup! tengok sajalah contoh adik sedara aku sendiri menyambut hari raya bersama isteri yang tengah berpantang, anak yang baru berusia setahun lebih dan baby yang baru lahir penghujung puasa lepas. Walaupun nampak kepenatan tapi dia masih mampu tersenyum puas. Rasanya dia dapat menghayati erti hari raya yang sebenar. Tidak macam aku, masih tercari-cari Nur Syawal buat menerangi suasana gelap dalam hati.

Ini gambar ketika aku masih kanak-kanak rebina. Gambar diambil di rumah nenek sewaktu hari raya pertama. Walaupun ketika itu Noh Hujan belum dikenali tetapi aku terlebih dahulu menggunakan fesyen rambut beliau. Sangat 'gile cool' sambil memakai baju gambar kapal layar.


Cuti hari raya banyak dihabiskan dalam bilik sambil melukis, melukis dan melukis. Cuma menyiapkan projek komik DK : LBS. Macam-macam perasaan bercampur dan bergumpal-gumpal dalam hati bila menyiapkan komik ini. Harap ia akan beri sesuatu yang lebih dari apa yang aku peroleh sebelum ini apabila sudah masuk pasaran nanti. Kalau penat melukis, aku akan tidur untuk merehatkan minda dan tangan. Bila sudah cukup rehat, akan sambung melukis, melukis dan melukis semula. Begitulah rutin cuti hari raya aku yang cool..


Friday, August 26, 2011

Ucapan Selamat Hari Raya

Assalamualaikum semua. Countdown raya semakin dekat, tentu sekarang korang sedang sibuk membuat persiapan terakhir menjelang aidilfitri nanti. Walau apapun yang korang sedang buat, sila jangan abaikan keselamatan diri. Sempena hari raya ini, aku sempat buat beberapa keping kad raya super simple special untuk korang semua..


Ini kad raya untuk Geng editorialey PTS Pop.



Ini pula kad raya buat si pujaan hati dan seluruh anggota badan (^_^)




Yang ini pula kad raya buat Kawan-kawan di FB dan untuk korang semua.




Anyway jangan lupa pagi raya nanti bergambar dengan komik Kecemprengman sambil berbaju raya dengan pose yang paling best sekali dan hantar ke sini. 5pemenang akan dipilih dan akan menerima hadiah komik raya : Misi Menyelamatkan Puan Ainon secara eklusif dan merupakan antara pembaca terawal kerana komik ini belum dijual di kedai buku lagi (^_^)

Thursday, August 25, 2011

Kenangan Yang Retro

Dam dum dum! bunyi dentuman mercun di luar rumah bisa membuatkan aku bernostalgia seketika. Teringat zaman kanak-kanak rebina aku dan rakan-rakan seusia bermain mercun. Di sepanjang bulan puasa, duit belanja harian yang diberi oleh arwah emak dikumpul semata-mata mahu membeli mercun sebanyak yang boleh.

Tiba malam seminggu sebelum raya, kami akan bermain perang mercun (berperang ala-ala askar tapi menggunakan mercun). Mercun yang paling sesuai dan paling popular digunakan untuk berperang adalah tunder clap rocket. Memang sangat seronok dan rasa suspen seperti berada di medang perang yang sebenar bila kita membuat serang hendap atau kita sendiri diserang hendap oleh rakan-rakan yang lain. Perasaan dikejar tunder clap mungkin tidak dapat dilupakan sepanjang hayat lebih-lebih lagi kalau ada parut di badan akibat terkena tunder clap itu.

Tapi semua itu sudah jadi kenang-kenangan ketika di usia kanak-kanak rebina. Kalau la ada time mechine yang boleh pergi ke zaman kanak-kanak semula, tentu aku akan pergi untuk bermain perang mercun semula (^_^)


Reminder untuk korang semua. Kepada korang yang ingin menjadi antara pembaca terawal komik M Raya : Misi Menyelamatkan puan Ainon (MMPA), sila 'like' Page ini. Syaratnya korang mesti warganegara Malaysia dan mesti ada Komik Kecemprengman #1 atau #2 kerana korang kena bergambar dengan komik Kecemprengman di hari raya nanti sebest yang boleh. Kemudian hantar gambar itu ke fanpage Kecemprengman. Hantar sebelum 8september 2011. Sebanyak 5 pemenang akan dipilih dan penghantaran Komik MMPA secepat mungkin sebelum komik ini dijual di kedai-kedai buku (maklum la, title baru komik-M selalunya ambil masa sedikit masuk di rak-rak kedai buku). Inilah peluangnya anda ber eksen dengan kawan-kawan mahupun jiran tetangga kerana korang ada Komik MMPA.



Gambar Komik MMPA yang masih dalam balutan plastik

Monday, August 22, 2011

MMPA.. MMPA..


Alhamdulillah tanggal 19ogos lepas tamatlah penantian penuh suspen sebuah komik antologi Komik-M raya #3 : Misi Menyelamatkan puan Ainon (MMPA). Memang sangat berbaloi penantian ini kerana hasilnya sangat memuaskan hati. Gabungan 5pelukis komik iaitu Bop, Froggy Papa, Reja, Ard One dan diri aku sendiri menghasilkan sebuah cerita yang kami sendiri tidak tahu secara keseluruhan jalan ceritanya. Agak unik dan mencabar sewaktu proses melukis komik ini kerana kami melukis hanya berdasarkan skrip yang disediakan oleh Pengurus PTS Pop iaitu Tuan Wanzu.

Rasa best sebab dapat berganding bersama 4orang pelukis yang heibat. Serius terasa diri ini kecil kalau nak dibandingkan dengan mereka berempat. Terima kasih juga kepada barisan editoriyaley Komik-M kerana memberi peluang dan kepercayaan kepada diri ini.

Sempena hari raya yang bakal tiba ini, dengan rasa ikhlas dihati mahu memberi 5 komik MMPA secara percuma kepada pembaca Komik Kecemprengman dan InsyaALLAH anda mungkin akan menjadi di antara pembaca terawal Komik MMPA kerana ianya belum dijual di mana-mana kedai buku seluruh Malaysia. Sila like page ini untuk mendapatkan cara dan syarat-syarat bagi melayakkan anda memiliki Komik raya secara percuma (^_^).

Wednesday, August 10, 2011

Klinik Gigi

Semalam buat pertama kali dalam sejarah hidup merelakan diri (rela dalam paksa) pergi ke klinik gigi sebab dah tak tertanggung menahan derita gusi bengkak. Sebenarnya aku takut nak pergi klinik gigi. Selama ini bila ada orang yang sakit gigi, selamba badak air je aku sound suruh pergi klinik gigi tapi kali ini baru aku tahu perasaan bila nak pergi klinik gigi. Sebenarnya ada banyak klinik gigi di Shah Alam ni. Ada Klinik Gigi Ismail, Klinik Gigi Monomani dan Rakan-rakan, Klinik Gigi Mazlan dan lain-lain. Tapi aku pilih Klinik Gigi Aliya sebab Kalau doktor gigi lelaki, tentu rasa sakit kerana mereka kasar. Kalau doktor gigi perempuan, tentu kurang rasa sakit sebab perempuan kan lemah lembut. Wahahaha..




Aku lah first customer Klinik Gigi Aliya semalam. Doktor Aliya maklumkan pada aku bahawa gusi yang bengkak itu sebenarnya berpunca dari jangkitan kuman. Anyway semua gigi aku masih kukuh dan tak berlubang. Cuma dia syorkan aku jalani proses cuci gigi (scaling gigi). Aku pun tak tahu apa benda cuci gigi ni. Agaknya macam cuci kereta kot.

Dengan eksennya aku pun bersetuju untuk melakukan 'cuci gigi'. Hampir 1jam jugaklah Doktor Aliya men 'cuci gigi' aku. Sepanjang waktu tu jugalah aku rasa gigi aku macam digerudi. Rasa nak menangis pun ada sebab gusi dah sedia bengkak, lepas tu macam kena gerudi pulak. Memang kenangan tak berapa nak indah la time tu. Dapat ubat antibiotik 2jenis, ubat tahan sakit, ubat kumur sebotol campur upah cuci gigi, melayang RM 82. Tapi Alhamdulillah lepas pergi Klinik gigi, bengkak gusi aku pun makin surut dan dah tak rasa nak demam lagi.

So malam ni boleh kembali melakukan kerja-kerja melukis semula. Yiba.. yiba.. andre.. andre! (^_^)

Monday, August 8, 2011

Salam Ramadan

Assalamualaikum semua. Kita mulakan dengan menonton video ini dahulu..


Rasa kagum bila lihat member-member sudah jadi selebriti youtube. Pada mulanya sekadar mahu membuat short filem suka-suka terus bertukar menjadi disukai ramai. Tahniah Aman Wan, Bop, Froggy dan Reja. Selepas ni bertambah-tambah lah rezeki korang hendaknya. Amin..


Sebagai tanda aku iktiraf hasil karya korang, aku buatkan sebuah fan art 'iKLan Gengstar' untuk korang.

Alhamdulillah kita sudah masuk hari ke8 menunaikan ibadah puasa. Puasa kali ini agak mencabar kerana berpuasa dalam keadaan gusi yang sakit. Menelan makanan pun terasa nak demam satu badan. Berbuka dan bersahur dengan bubur nasik sahaja.Disebabkan kerap demam dan sakit kepala berdenyut-denyut, prestasi melukis juga menjadi slow.

Selain berniat mahu berpuasa sebulan di bulan Ramadan, aku juga berniat mahu siapkan komik LBS ini sebelum bulan Syawal tetapi nampaknya macam sukar untuk direalitikan. Maaf Tuan Editor, saya sudah berjanji pada tuan, tetapi saya gagal. Saya akan cuba siapkan setelah masalah kesihatan saya dapat diatasi nanti. Diharap tuan setia menunggu dan tidak menyampah kepada saya. Wuwuwuwuwu..


Cerita wayang yang baru di tonton, 'Rise of the planet of the apes' bagi aku antara filem terbest tahun 2011. First time aku tengok monyet buat hati aku tersentuh perasaan sedih beremosionaley. Di ending filem ini nampak macam akan ada prequel.

Di akhir kata, aku mengucapkan selamat menjalani ibadah puasa dengan jayanya buat korang semua. Kalau kita ponteng puasa dengan sengaja, maka samalah kita dengan monyet sebab monyet tak diwajibkan puasa. Wahahaha..

Monday, May 30, 2011

Album Gambar Anugerah Pekomik 2011

Alhamdulillah kerana Majlis Anugerah Pekomik 2011 telah sempurna melabuhkan tirai tanggal 28mei, sabtu yang lepas. Terima kasih kepada semua yang sudi hadir, yang tidak dapat hadir kerana ada tugasan lain mahupun terikat dengan program atau acara tertentu, diharap berkesempatan untuk bersama-sama pada masa akan datang. InsyaALLAH. Berikut adalah beberapa keping gambar yang berjaya diambil di sekitar majlis tersebut.



Gambar auditorium yang menjadi gelanggang Anugerah Pekomik semestinya memberi jaminan keselesaan berganda-ganda berbanding 2tahun sebelum ini yang hanya di adakan di bilik bersederhana kecil saiznya.


Ada jualan komik di luar auditorium dengan harga potongan diskaun yang sangat heibat seperti potongan diskaun kain-kain di Gulatis, Kamdar mahupun Jakel.


Sempat duduk bersebelahan dengan pelukis Bestseller Froggy dan BopHairy. Tetapi terpaksa mencari tempat duduk yang lebih dekat dengan pentas kerana saya ada penyakit mata iaitu... rabun jauh. Wahahahaha...


Ustaz Wanzu mengetuai bacaan doa sebagai pembuka majlis sambil diperhati tanpa berkelip mata walau sesaat pun oleh Faizal Mukhtar selaku pengacara majlis dengan penuh rasa keinsafan di dada.


Kemudian Tuan Presiden, Abe Azhar mengalunkan sepatah dua kata sambil sekali lagi diperhati dengan penuh kusyuk oleh faizal Mukhtar.


Ada persembahan ala-ala okestra menghiburkan para tetamu yang hadir. Terasa badan macam berterbang-terbangan di dalam auditorium menghayati keindahan gesekan biola.


Dum dum cak.. Dum dum cak.. Heibat budak Shazet Beatbox ni. Guna mulut je pun boleh buat lagu remix siap rap sekali.


Alif si pengantin baru sedang mengangkat kamera yang berat kemana sahaja bagi memastikan otot-otot lengannya sentiasa berketul-ketul.



Sengih seorang champion setelah berjaya merangkul 2 anugerah iaitu ketogeri penulis terbaik dan komik terbaik.


Bop sedang diberi motivasi diri oleh Puan Ainon (Chairman PTS). Sudah pasti selepas ini beliau akan lebih bersemangat melukis gambar arnab.



Bop tanpa rasa segan dan malu terus menujukan lagu nyanyian Dafi buat isteri dan anak tercinta bila terpandang lensa kamera yang dibawa oleh Alif.



Irfan dan Laven sedang bertelagah tentang jumlah anak yang mahu mereka hasilkan selepas berkawin nanti sambil di usya dengan pandangan super ketat Froggy dan Bop. Masalah rumah tangga jangan dibawa keluar rumah.


Acara bergambar bagi mereka yang berjaya memenangi anugerah selepas acara tamat.


Gambar para champion Komik-M. Lepas ni korang jangan lupa belanja aku makan nasi kandaq sama sirap bandung campur cincau.

Friday, May 27, 2011

Last Calling! Last Calling!

Ini adalah peringatan terakhir. Lepas ini takde dah nak bagitau.. Nak minta siaran ulangan pun takkan dilayan dah. Sabtu ini (28mei2011) di Auditorium Aras 2, Perpustakaan Negara Malaysia akan berlangsung secara live Anugerah Pekomik 2011. Aturcaranya adalah seperti di bawah..

8.30 pagi - Ketibaan Para Jemputan

9.00 pagi - Ketibaan Prof. Dr. Muliyadi Mahmood.
Penasihat PeKOMIK
- Negaraku
- Bacaan doa
- Ucapan Alu-aluan oleh Prof. Dr. Muliyadi Mahmood
Penasihat PeKOMIK

9.30 pagi - Forum Perdana PeKOMIK
"Eksklusif dan Profesionalisme dalam Seni Komik”
Panel: En. Hj. Zainal Buang Huseein, En. Reggie Lee, En. Chee & En. Aadi Salman

10.30 pagi - Jamuan ringan

10.50 pagi - Ketibaan YBhg. Dato’ Raslin bin Abu Bakar
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia

11.00 pagi Ucapan Anugerah PeKOMIK oleh En. Muhd Azhar Abdullah Presiden PeKOMIK

11.15 pagi Penyampaian Kemuncak Anugerah PeKOMIK 2011

1.00 petang Pelancaran Buku
Penyampaian Sijil Peserta Bengkel Penulisan Kreatif

1.30 petang Ucapan Penutup Karnival Penulis 1Malaysia oleh
YBhg. Dato’ Raslin bin Abu Bakar
Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia

- Sidang media

- Makan tengah hari
Majlis Bersurai

Makanya datanglah beramai-ramai. Sokongan anda semua terhadap industri komik tempatan amatlah dihargai. Jumpa di sana.. di sana.. di sanaa...

Wednesday, May 25, 2011

Anugerah Pekomik, Siapkan Komik & Kongsi

Bismillahirrahmanirrahim. Assalamualaikum semua. Semoga korang dalam keadaan tabah mengharungi kehidupan yang kini dikuasai harga pasaran minyak dunia. Makin mahal harga minyak maka makin mahallah harga setiap barang mahupun perkhidmatan yang korang mahu beli. Lalu terpaksalah kita semua teruskan perjalanan hidup dengan mengukir senyuman di wajah sambil tangan mengurut dada yang sakit.. Lupakanlah seketika masalah duniawi yang sedang membelenggu kita semua. Mari tengok poster di bawah..

28mei ini bertempat di Perpustakaan Negara akan berlangsung secara live Anugerah Pekomik 2011. Acara akan bermula jam 9pagi dan yang paling ditunggu-tunggu, siapalah agaknya calon finalis yang akan merangkul anugerah tahun ini. Marilah kita sama-sama memeriahkan dengan menghadirkan diri ke Perpustakaan Negara. Jangan risau, walaupun harga minyak naik lagi, anda tetap tidak dikenakan sebarang bayaran untuk masuk ke majlis ini. Dalam erti kata lain, MASUK PERCUMA. Nak minta autograf mahupun bergambar dengan pelukis-pelukis komik pun tak akan dikenakan apa-apa bayaran. Dengar cerita, di sana nanti juga ada jualan komik dan macam-macam lagi (yang ini tak percuma, kena beli). Hehehehe... Kita jumpa di sana.. di sana.. di sana..

Bulan mei ini aku cuba mengfokuskan diri melukis seberapa banyak page untuk komik-komik yang terbengkalai tak siap-siap. Memang agak mencabar untuk melunaskan tanggungjawab ini. Bulan seterusnya pun akan begitu juga hinggalah siap salah satu komik yang terbengkalai itu.



Setelah melihat trailer filem Kongsi yang nampak macam 'rare', ditambah pujukan 'peminat Sam'. Maka terjerumuslah aku pergi menonton kongsi di pawagam. Ha.. ha.. ha.. itulah respon aku selepas menonton filem itu. Plot cerita longgar. Tapi apa nak dikisahkan, Kutipan hari pertama filem ini ditayang di pawagam pun sudah RM 1.08 juta.



Serius, mamat ni la yang buat mata aku boleh tengok filem Kongsi tanpa rasa ngantuk. Sila beri tepukan 5 star untuk beliau.. clap! clap!

Friday, March 11, 2011

Sesi Berjumpa Pelukis Komik Best Seller

Maafkan aku kerana sudah lama tidak meng Up date blog Terlalu Poyo ini. Aku lalai dengan kerja-kerja duniawi sehingga terlupa akan blog ini. Namun sebelum aku lalai dengan lebih dahsyat lagi, biar aku war-warkan pada korang semua bahawasanya 12mac ini bertempat di Alpha Angle, Wangsa Maju tepat jam 1petang, 4orang pelukis komik-M akan memunculkan diri di sana (sila rujuk poster di atas).

Marilah datang beramai-ramai ke sana. InsyaALLAH aku juga ada berniat di dalam hati untuk bersama-sama mereka (tapi aku akan cuba menyorok di belakang tiang dan rak buku). Hehehe... Ini sajalah info yang ingin disampaikan setakat ini. Semoga ketemu lagi di enty akan datang yang lebih panjang dan lebih best (^_^)

Wednesday, February 16, 2011

Di Mana Ada Hantu?

Hehehe.. Aku memang suka tengok filem seram. Mungkin setelah berasa agak puas hati dengan filem-filem seram melayu kebelakangan ini yang sempat aku tonton iaitu ngangkung, Hantu Kak Limah balik rumah dan khurafat, aku layan lagi sebuah filem seram melayu tetapi diarahkan oleh pengarah berbangsa cina.

Sini Ada Hantu.. buah tangan James Lee yang mengangkat kisah hubungan hantu dan manusia dalam kronologi yang unik. Ia diolah kepada 4 kisah di mana salah satunya menjadi bingkai untuk 3 kisah hantu yang lain. 3 kisah hantu ini pula dipecahkan berdasar jenis hantu iaitu hantu melayu, hantu cina dan hantu international. Menarik bukan?

Kisah hantu pertama : Bingkai cerita Sini Ada Hantu

Ah Meng dan Bakri yang terpaksa menerima tugas mencabar iaitu menghantar mayat ayah majikan tempat mereka berkerja di waktu malam padahal mereka bukan pekerja van mayat yang profesional. Setelah diumpan dengan bayaran overtime yang lumayan akhirnya mereka tewas dan di sinilah bermulanya perjalanan panjang mereka berdua bertemankan mayat di dalam van.

Sudah tahu ada mayat di dalam van, boleh pulak mamat dua orang ni bantai bercerita pasal hantu bagi menghilangkan rasa boring. Tetapi watak Ah Meng (Alvin Wong) dengan Bakri (Baki Zainal) ni memang kelakar selamba. Aku boleh beri anugerah pelakon komedi masa hadapan kepada mereka berdua. Korang mahu tahu cerita hantu apa yang mereka bualkan pada malam itu...

Hantu Pokok Pisang (Hantu Melayu)

Zam (Sufian Muhamed) yang menaruh hati kepada Noraini (Eira Syazira), walaupun tahu Noraini kekasih Farid (Beto Kushairy). Untuk memenangi hati Noraini, Zam sanggup menggunakan hantu pokok pisang (Fasha Sandra) untuk memenuhi hajat beliau. Teringat scene waktu Fasha Sandra bertukar menjadi hantu yang hodoh bila kain berwarna merah yang diikat pada pokok pisang diputuskan.

Hantu Nombor Ekor (Hantu Cina)

Kisah John (Pete Teo) yang berhutang keliling pinggang, bersama 3 rakannya memuja roh untuk meminta nombor ekor berpandukan petua pak cik nya yang sedang nazak. Kerana kesilapan step memuja roh, mereka berempat diganggu roh tersebut. Lebih teruk lagi apabila perasaan tamak haloba menguasai diri, perasaan peri kemanusiaan sudah hilang dan akibatnya....

Hantu Asrama (Hantu International)

Yacob (Mohd Qhaud) yang baru bertukar ke sekolah berasrama penuh, di mana rakan-rakan sebiliknya semua takutkan hantu askar Jepun yang selalu berkawat di gelanggang tenis sekolah pada waktu malam. Tiada seorang pun yang berani pergi ke tandas pada waktu malam. Kalau sudah tak tahan sangat, mereka akan membuang air kecil atau besar di dalam plastik sahaja. Bagi aku, kisah ini yang paling kelakar berbanding 2kisah sebelum ini.

Yup, korang sure pernah dengar komik antologi. Bagi aku filem Sini Ada hantu adalah sebuah filem antologi. Aku ketawa terbahak-bahak bila Ah Meng dan Bakri berdebat mengenai keheibatan hantu melayu dengan hantu cina. Kesimpulannya? hantu melayu boleh dipegang, hantu cina tidak boleh. Rasa best sebab ada filem macam ini di mana beza di antara kaum dalam negara kita dapat diutarakan dengan cara yang menggembirakan kita semua. Berjayakan Ah Meng dan Bakri menghantar mayat ayah majikannya ke destinasi yang di arahkan? Korang pergilah menonton sendiri filem ini .