Thursday, December 31, 2009

Entri Terakhir Tahun 2009

Malam ini confirm ramai yang nak turun menyambut detik tahun baru sambil menantikan letupan bunga api. Sambil tu dapat bersesak, berhimpit dan bertindih-tindih dengan orang yang langsung tak dikenali. Polis trafik dan JPJ pulak Confirm kena claim keja lebih masa buat roadblock sebab nak tangkap mat-mat rempit yang malam ini dengar cerita akan bikin gegar jalan-jalan utama keliling ibu kota.

Yang anak-anak dara pula malam ni kalau boleh tak mahu tidur di rumah. Nak berpesta sampai ke pagi dengan kekasih-kekasih yang kononnya mahu hidup semati dengan mereka. So terpaksalah Jabatan Penguatkuasa Agama setiap negeri menerjah macam Nas Ahmad Melodi ke hotel-hotel, rumah tumpangan, rumah urut, kereta-kereta bercermin gelap dan tempat-tempat yang sunyi, lembab dan gelap bagi mengesan anak-anak dara ini.

Aku? Aku buat apa pada malam terakhir tahun 2009? Aku akan cuba menyiapkan komik bola yang aku dah berjanji nak summit pada Encik editor komik M awal tahun depan. Jadinya aku akan terperap dalam bilik sambil layan melukis dan melukis. Inilah dunia aku. Aku hadiahkan special 4page terawal komik bola lukisan aku untuk tatapan korang semua. Yang 6page lagi, korang kena beli bila Komik Antologi ni berada di pasaran tahun hadapan.

Aku mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih pada korang semua yang langsung tak jemu dan muntah-muntah datang melawat blog yang tak sebagus mana ini sepanjang tahun 2009. Harap tahun 2010 pun korang still tak rasa jemu datang bertandang lagi. Ala.. takde kena caj bayaran pun baca blog aku. (^_^) Anyway kalau ada yang terasa dengan tulisan pada blog ini, aku mohon ampun maaf dari hujung rambut sampai hujung kuku kaki. Aku sayang korang semua.
Ini pula seruan untuk sesiapa yang memang mempunyai bakat terpendam mahupun tertimbul dalam bidang komik. Jom buat komik sempena World Cup 2010. Manalah tahu, dengan komik yang korang lukis ni akan menyemarak dan membakar semangat player-player dalam negara kita ni bermain bola dengan lebih profesional supaya satu hari nanti, negara kita pun takdelah malu sangat bila bermain dalam tournament mahupun perlawanan persahabatan. Macam mana la tak malu, dengan pasukan tak terer pun boleh kalah. Bagi tujuan nak bakar line buat korang rasa panas, aku hidangkan video anime One Piece versi bola sepak untuk korang tonton. Layannnn..

Thursday, December 24, 2009

Promosi Jualan Kembali Ke Sekolah

Menurut sumber yang boleh dipercayai dari Encik Wanzu (Editor Komik M), Komik Antologi Aku, Kau & Komik #1 & #2 telah siap dicetak dah sudah berada dalam stor buku PTS di Batu Caves dan sekarang sedang dipunggah ke dalam lori bagi diagih-agihkan ke seluruh kedai-kedai buku di Malaysia. Harganya memang cukup murah kalau nak dibandingkan dengan sepasang kasut sekolah. Kepada ibu dan bapa semua, belikan lah komik ini untuk anak-anak anda yang mahu kembali ke sekolah kerana komik ini diterbitkan khas untuk mereka. Ada macam-macam komik dalam komik ini. Ada yang sedih, ada yang kelakar, ada yang menyayat hati macam Drama Nur Kasih (Hahaha.. Aku tak pernah tengok pun drama ini) dan macam-macam lagi. Memang berbaloi kalau dibeli. Nasib baik Encik Amy Search takde, kalau tak aku dah suruh Encik Amy Search tolong sebutkan berkataan berbaloi-baloi untuk korang semua. wahahaha..

Aku sekarang on duty menyiapkan komik 10page bagi Antologi Komik Aku, kau & bola pula. Komik ini akan diterbitkan sempena World cup 2010 di Afrika nanti. Title komik aku ni bertajuk Kasut Bola. Kalau boleh aku nak tujukan komik ni khas untuk dibaca oleh Encik Didier Drogba yang akan mewakili pasukan dari Ivory Coast. Aku harap Encik Didier Drogba akan faham bila baca komik ini sebab komik ini berbahasa Malaysia.

Malam tadi aku lepak restoran maplai kejap, kononnya nak pekena milo tarik. Tapi tuan empunya Restoran itu pasang DVD cap cetak rompak filem Avatar yang aku nak tengok kat panggung wayang hujung minggu nanti. So aku pun tertengok la. Memang spoil la Restoran maplai ni. Rasa badan aku pun nak bertukar warna biru macam makhluk di atas. Damn.. Saja je nak bagi aku terliur.

Thursday, December 17, 2009

Jangan Biarkan Diri Anda Diselubungi Keseraman

Sudah sekian lama sistem panca indera aku tidak dirangsang dengan benda-benda yang seram, So sempena cuti hari Keputeraan Sultan Selangor pada jumaat lepas, aku telah pergi menyeramkan diri dengan menonton wayang cerita seram. Aku tengok filem kat bawah ni.

Filem ni memang seram sampai couple yang duduk kat seat sebelah aku berpeluk-pelukan sesama sendiri sebab terkejut-terkejut bila ada adengan hantu muncul dalam filem tu. Tapi aku duduk keras kejang satu badan sebab tak rasa langsung keseraman itu. Macam mana la nak seram kalau dalam panggung wayang penuh dengan budak kecik. Ada dengar suara budak ketawa, budak berteriak menangis dan yang paling best sekali, ada budak yang duduk kat seat depan aku boleh berbual-bual pasal kartun Ben 10. So jangan salahkan aku kalau aku tempeleng mak ayah budak-budak tu sebab merosakkan hari seram aku.

Lagi satu yang buat aku rasa sedih bila ada segelintir penonton yang sama bangsa dan agama dengan aku boleh gelak-gelak bila ada scene dalam filem tu menggunakan Ayat-Ayat Suci Al-Quran. Memang kurang ajar. Tapi bila korang tengok filem barat yang ada scene dalam gereja ke, pandai lak korang senyap sebagai tanda hormat. Lagi sekali aku terasa nak tempeleng orang tapi dalam panggung wayang tu gelap. Takut tersalah tempeleng orang kang naya je aku.

Ah! tak mahu cerita pasal seram dah. Kali ini aku nak minta korang buat satu kerja kebajikan amal jariah untuk aku. Sila dapatkan Komik Antologi Aku, Kau & Komik #2 sebab dalam komik ni ada komik special lukisan aku untuk korang sebanyak 10page. Alif (Editor Komik M) kata komik aku ni kelakar sangat. Jadi kalau korang nak tahu Alif ni bercakap benar atau berbohong, silalah dapatkan komik ini di kedai-kedai buku yang berdekatan dengan rumah korang.


Alang-alang korang dah beli Aku, kau & komik #2, jangan lupa beli sekali yang #1. Walaupun takde komik lukisan aku, ia masih lagi buah buku komik yang seronok untuk dibaca. Ramai pelukis-pelukis yang lebih hebat melukis dalam komik ini. Serius cakap la, memang berbaloi kalau beli kedua-dua komik ni. Jangan sampai aku panggil Encik Amy Search cakap berbaloi-baloi baru korang berlari-lari zirafah pergi mencari komik ini kat pasaran.

Tuesday, December 8, 2009

Buat Eksperimen Atas Kertas

Eksperimen pertama aku


Eksperimen ke dua aku

Picisan dari komik 10page yang sedang aku usahakan sekarang. Cuma tinggal 3page sahaja lagi untuk disiapkan. Aku tak sure jalan ceritanya o.k atau k.o, tapi yang pastinya aku suka lukis part-part yang ada aksi-aksi letupan. Terbayang watak John McClane lakonan Bruce Willis dalam filem Die Hard. Wahahaha..

Friday, December 4, 2009

Pengalaman Berkhatan

Sempena musim cuti sekolah ini, ramai di kalangan ibu bapa mengambil kesempatan mengkhatankan anak-anak mereka. So aku pun rasa macam terpanggil untuk berkongsi pengalaman berkhatan aku pada korang. Diharap pengalaman yang akan aku ceritakan ini boleh dijadikan motivasi diri bagi mereka yang masih belum berkhatan lagi.

Seingat aku la, aku dikhatankan semasa darjah 5. Berkhatan secara beramai-ramai dengan anak-anak pekerja anjuran tempat arwah abah aku berkerja. Semasa nak berkhatan tu, banyak la suara sumbang-mambang menyakat bagi tujuan menakut-nakutkan aku. Diorang kata berkhatan ni guna kapak besar la, ada juga yang kata guna pedang laser Darth Vader la dan ada yang lagi sadis kata guna mesin tebang pokok balak. Huhuhu.. Anyway aku sikit pun tak rasa gentar dengan cubaan-cubaan meracuni minda yang boleh membuat aku rasa tak jadi nak berkhatan.

Aku berkhatan di Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah, Klang. Tukang khatannya seorang doktor lelaki berbangsa cina tapi ada nurse pembantu berjantina Perempuan. Perasaan aku waktu tu sama dengan perasaan mangsa nak kena rogol. Dah tu tambah pulak rasa malu pada nurse perempuan tu. Tak pasal-pasal nurse tu free-free je dapat tengok aku punya. Dem sungguh.. Aku amat-amat mental down ketika itu.

Doktor suruh aku baring atas katil dan pelan-pelan tangan dia selak kain aku. Hohoho.. perasaan aku masa tu seperti mengalami gangguan seksual bila nurse tu senyum-senyum tengok aku punya. Tapi apakan daya, aku tiada kudrat untuk melawan. Semasa operasi memotong, aku tak rasa sakit sangat sebab dah kena bius. Ala.. rasa sakit sikit-sikit je ala-ala digigit angsa gitu. Tapi bila dah sampai di rumah, ubat bius tu pun dah abis power. Aku rasa sakit macam nak mati. Untuk mengurangkan kesan kesakitan tu, aku pura-pura memengsankan diri sendiri. (^_^)

Kehidupan lepas berkhatan amat menyedihkan terutama bab makanan sebab aku kena berpantang macam orang perempuan lepas bersalin. Jalan pun terkengkang-kengkang sambil pegang kain. Kalau tergesel je aku punya tu kat kain, terasa macam nak jerit sambil bertukar menjadi Optimus Prime. Serius rasa ngilu sangat. Bab buang air kecil pun seksa jugak sebab air kencing tu keluar macam air pancut kat KLCC bercabang-cabang.

Sebab aku berkelakuan baik dan tak langgar pantang, seminggu je aku dah baik berkhatan. Dah boleh pakai seluar siap boleh beraksi seperti Frank Lampard mengambil free kick di padang bola. Perasaan pun dah berubah macam orang dewasa sikit so dah mula pandai mengurat anak dara sebelah rumah ketika itu. Wahahaha.. itulah serba sedikit pengalaman berkhatan yang aku alami suatu ketika dulu. Jom kongsi pengalaman berkhatan korang pula.

Friday, November 27, 2009

Ucapan Salam Aidil Adha

Salam Aidil Adha untuk semua. Aku doakan korang sihat sejahtera menyambut Aidil Adha dalam keadaan happy tapi penuh dengan rasa kesyukuran. Doakan juga para Jemaah Haji di Tanah Suci sana dapat melaksanakan ibadah haji diorang dengan sempurna.

Di kala aku mendengar suara gema takbir buat aku teringat pada arwah ayah dan arwah ibu. Serius aku rindu pada diorang. Sedekahkan Al-Fatihah buat mereka berdua. Buat insan yang aku sayang, Sila ciumkan pipi mak awak untuk saya ek. Sampaikan salam saya kat kedua orang tua awak dan adik beradik awak. Dengan rasa tak malunya saya cakap.. saya sayang awak lebih dari saya sayang nyawa saya sendiri.

Pada korang yang selalu membuat lawatan mahupun rombongan Cik Kiah kat blog aku ni pun aku dengan perasaan sedikit eksen mengucapkan selamat hari raya . Maaflah kalau ada bahasa yang aku tulis dalam blog ini membuatkan hidup korang rasa terancam ataupun membuatkan kehidupan korang berubah secara drastik dan ekfisyen. Maaf lagi sekali sebab entri kali ini super pendek. Aku tengah busy bagi lembu ni makan rumput. Nak bagi makan sampai lembu ni jadi super gemuk. Baru la sesuai nak wat daging korban nanti. Hehehehe..

Monday, November 23, 2009

Update 3 Perkara

100% Gempakstarz
Dalam kemiskinan sebab gaji tak dapat lagi, aku dengan selamba temankan sayang aku ke Sungai Wang Plaza semata-mata nak tengok 100% Gempakstarz. Meriah jugak la event ni sebab aku berkesempatan mengikuti acara penyampaian hadiah bagi Peraduan Bakat Baru. Jumpa member-member yang dah lama tak jumpa (hidup lagi korang, aku ingat dah arwah dah macam arwah Mican). Dan yang paling sadis sekali, walaupun dibelenggu kemiskinan tegar, aku tetap membeli-belah komik-komik grafik terbaru yang ada dijual di situ dengan senyuman ala-ala Doraemon. Lalalala...

Irfan (Foner)
Nak ucapkan terima kasih daun keladi bunting buat pelukis komik Smash 20 sebab dengan eksen telah menghadiahkan aku senaskah komiknya. Aku sengaja letak gambar Irfan kat sini supaya korang kalau terjumpa dia kat mana-mana, boleh mintak komik free ke.. minta tandatangan ke.. minta air penerang hati pun boleh jugak kot. Anyway, tahniah atas kelahiran komik Smash 20. Silalah dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran mahupun berjauhan. (^_^)

Karakter Design
Aku dah cipta watak-watak yang akan aku gunakan dalam komik terbaru aku. Maybe akan ada lagi watak-watak tambahan macam nasik tambah menyusul semasa proses komik ini dihasilkan. InsyaALLAH, proposal akan dihantar kepada Encik Wanzu dan Encik Alif (Editor-editor Komik M) pada 25november ini. Kepada Encik Wanzu yang kacak macam Jalaluddin Hasan dan Encik Alif yang hensem macam Antonio Banderas, sila jangan reject proposal komik saya. sebab semalam saya terjumpa buku Death Note di tengah jalan. Jangan sampai saya tulis nama encik berdua di dalam buku itu. Ini bukan ugutan, tetapi sekadar nasihat yang membina. Wahahaha...

Tuesday, November 17, 2009

Allahyarham Mican

Gambar kucing gatal di atas ni merupakan gambar kucing kesayangan Ucu aku yang diberi nama Mican. Tapi yang sedihnya Mican sudah tiada di muka bumi ini kerana 3minggu yang lepas Mican menghembuskan nafasnya yang terakhir. Punca-punca kematian Mican adalah kerana Mican menghidapi penyakit hepatitis B. Ucu aku amat sedih dengan kematian kucing kesayangan dia tu.

Aku pun turut bersedih jugak kerana Mican la tempat aku menumpang kasih dan bergurau-senda. Tetapi kini Mican sudah tiada. Yang ada hanya tinggalan kesan parut gigitan dan cakaran Mican pada tangan aku. Marilah sama-sama kita berdoa semoga roh Mican ditempatkan di kalangan kucing-kucing yang beriman.

Sebagai tanda ingatan aku pada Mican, aku lukiskan sebuah komik khas untuk dia. Watak utama komik ini bukan watak seorang manusia tapi seekor kucing. Komik ini mengisahkan tentang seekor kucing yang mengembara jauh ke ruang angkasa lepas untuk mencari ibu dan ayahnya yang telah hilang.

Komik ini bercorak sains fiksyen yang disulami dengan dunia fantasi ciptaan aku sendiri. Diperkuatkan dengan aksi pengembaraan yang mencabar dan mendebarkan sehingga jantung berdegup laju tanpa henti. Ada sedikit unsur-unsur komedi aku terapkan sebagai ubat untuk jantung korang yang dah berdegup laju agar korang terhindar dari serangan sakit jantung mahupun batuk berdarah.

Tuesday, November 10, 2009

Awan Mendung Keliling Hari Aku

Cuaca sekarang ni memang buruk. Hujan turun hampir setiap hari. Banyak hati-hati manusia yang merasa resah akibat musibah hujan yang turun dengan isipadu yang terlebih banyak di atas muka bumi.

Hati aku pun resah gak. Perasaan penuh rasa hiba. Jiwa jadi kacau bilau. Semua akibat awan mendung yang berarak mengelilinggi hidup aku. Harap air hujan yang dibawa awan mendung jahat itu cuma sedikit sahaja isipadunya.

Maafkan aku sebab aku bercakap guna bahasa hati kali ini. Gambar di atas tu memang tiada kena mengena tentang awan mendung mahupun Awan Diana.

Saturday, October 31, 2009

Aku Bagai Berada Dalam Perut Ikan Paus

Minggu ini aku mengharungi hari-hari yang sungguh suram. Aku berasa aku bagai berada di dalam perut seekor ikan paus. Itu lah contoh perumpamaan (kepada Encik Karam Singh Walia, kamu boleh guna perumpamaan ciptaan saya ini dalam laporan berita kamu nanti ya!) yang boleh aku gambarkan tentang betapa boringnya hidup aku minggu ini. Ditambah dengan tahap kesihatan yang tidak menentu. Entah bomoh mana yang hantar penyakit demam pada aku. Huhuhu..

Dalam demam-demam tu aku dihantar mengikuti sebuah kursus oleh majikan aku. Kursusnya cukup memboringkan. Penceramahnya pula suka berceramah yang bukan-bukan tak kena mengena langsung dengan tajuk kursus yang diadakan. Itulah kisah hidup aku yang boring pada hujung bulan oktober ini. Tapi bagi member aku yang bernama Reja dan Irfan, mereka tentu happy melalui hari-hari terakhir dalam bulan Oktober ini.

Ni sambungan ke 2 komik Shootz! karya Reja. Cergas gile mamat ni lukis komik. Dia bela hantu Raya kot. Tu yang cepat je dia melukis, aku bela kucing je. Wahahahaha.. Aku dah baca komik yang pertama so sure aku akan beli komik beliau yang #2 ni. Korang semua pun jangan la segan nak beli dan baca komik ni bila dah masuk kat pasaran awal bulan november ni nanti tau.

Yeah! Cayalah Irfan (Foner), dengan cemerlang komik kamu akan publish awal bulan november ni. Cover komik pun terserlah mantap. Tapi aku risau jugak cover ni akan mendatangkan kesan buruk kepada minda kanak-kanak. Takut ada yang tiru aksi smash bola sepak. Pape pun, permulaan yang terbaik untuk bulan november ni bagi memeriahkan industri Komik Malaysia. Chaiyok.. chaiyok.. Kejap yek, aku nak sambung balik layan perasaan boring seperti perumpamaan bagai berada dalam perut ikan paus. Huhuhu..

Tuesday, October 27, 2009

Mamak! Kasi Papadom Satu..

Sinopsisnya..

Mengisahkan Saadom adalah seorang pengusaha kedai makan yang terlalu kuat bekerja sehingga berjaya mengejar impian hidupnya, namun dia gagal dalam tanggungjawabnya sebagai suami kepada Munira dan ayah kepada Miasara. Situasi ini berubah apabila Saadom kehilangan isteri kesayangannya yang mati dalam satu kemalangan ketika ingin melihat anaknya menerima anugerah di sekolah selepas suaminya memberikan alasan sibuk. Sebelum itu, Munirah sempat berpesan agar suaminya akan sentiasa menjaga anaknya seperti mana menjaga kerjanya. Sejak itu Saadom tidak lagi seperti dulu, ke mana saja anaknya berada dia sentiasa berada di sisi. Sehinggalah saat berpisah apabila Miasara ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya di IPTA. Miasara tidak lagi mahu ayahnya mengikutnya ke Kuala Lumpur dan mengugut akan berhenti belajar sekiranya tidak patuh arahannya. Saadom akur dengan kehendak anaknya, namun di sebalik itu Saadom punyai rancangan untuk memohon jawatan sebagai tukang kebun di IPTA tempat anaknya belajar agar dapat sentiasa melihat anaknya.

Aku tahu filem ini penuh dengan lawak jenaka dan gelak ketawa tapi aku tak faham kenapa bila nak sampai ending filem ni, kornea bijik mata aku boleh termengalirkan air mata. Lebih-lebih lagi bila part tayangan filem pendek arahan Maisara tentang ayahnya. Anyway Tahniah Afdlin sebab berjaya hasilkan filem yang hebat dengan bajet yang terhad. Aku tak rasa rugi langsung keluar duit tengok Papadom kamu.

Dan tahniah juga kepada kamu Afdlin kerana kamu juga berjaya membuatkan sayang aku secara live buat julung-julung kalinya dapat tengok aku menangis kat sebelah dia masa tonton Papadom kamu. Damn!

Monday, October 19, 2009

Pengalaman menghadiri Opis Terbuka

Pada hari khamis yang lepas aku telah menghadiri majlis opis terbuka yang dianjurkan oleh PTS (company tempat aku mempublishkan komik aku). kenapa aku kata opis terbuka? sebab jamuannya tak dibuat di rumah, ianya dibuat di pekarangan opis PTS di Batu Caves. Wahahaha.. Sungguh unikkan?

Sebenarnya aku dah lama dapat kad jemputan opis terbuka ni tapi sengaja tak pamerkan dalam blog aku sebab aku tak mahu korang yang baca blog aku ni beramai-ramai pergi ke opis terbuka PTS. Aku bimbang kalau korang pergi, sure habis semua makanan kat opis terbuka tu. Nanti aku sampai sana, aku cuma minum air je sebab semua makanannya korang dah settlekan..

Peh! satey, kambing panggang, mee kari, laksa, nasi beriani, cendol, nasi himpit, lemang semuanya aku baham. Nasib baik aku mempunyai rakan-rakan yang sealiran dengan aku iaitu kaki baham jugak seperti Wanzu, Alif, Irfan, Azhar, jimy, Tako dan lain-lain. So hari tu kami semua membaham dengan penuh kerjasama.


Tengah syok-syok membaham, aku disapa lembut oleh Puan Pengerusi PTS iaitu Puan Ainon. Selain ucapan selamat hari raya, beliau juga tanpa segan silu memberi ceramah percuma kepada aku dengan tajuk kenapa aku tak produktif menghasilkan komik. Turut serta mendengar ceramah tersebut ialah kedua-dua editor aku sekali. Terima kasih Puan Ainon atas ceramah yang diberikan. (^_^)

Monday, October 12, 2009

Masa Untuk Otot-Otot Jemari Bersenam

Yeehaa!! Setelah sekian lama aku bercuti panjang merehatkan jari jemari tangan dari memegang pen dan kertas, sudah tiba masanya aku melakukan come back. Hehehe... statement macam artis yang dah lama tak mengeluarkan album je.

Sebelum tu aku nak ucapkan setinggi-tinggi penghargaan pada Aman sebab tanpa rasa malu-malu anjing laut telah menbuat fan art untuk watak komik Kecempreng Man. Aku pun nak buat fan art untuk Aman tapi masalahnya dia belum ada komik lagi.

Sekarang marilah kita sama-sama mendengar cerita tentang projek komik terbaru dari aku. Kali ini aku akan berkolaborasi dengan 2 orang pelukis komik yang terkenal iaitu kartunis Jambang dan Kartunis Alif. Sebuah buku komik yang ada 3 cerita komik di dalamnya bertemakan tentang makhluk asing. InsyaALLAH, ceritanya best dan penuh dengan info-info berkaitan kehidupan makhluk asing.

So aku pertontonkan first page bagi komik terbaru aku yang berkisarkan tentang cerita makhluk asing. Kali ini aku lukis kapal angkasa berbentuk kepala Optimus Prime lak. Wahahaha.. kalau nak tengok page-page seterusnya, korang kena lah selalu-selalu buat muka tak malu melawat blog aku yang tak seberapa ini. hehehehe.. (^_^)

Friday, October 9, 2009

Pecah Rekod Sendiri

Walaupun aku ni bukan macam Usain Bolt yang selalu memecah rekod dunia berkali-kali dalam acara lumba lari dan kini digelar manusia terpantas di muka bumi, tapi aku juga telah memecahkan rekod aku sendiri pada 3 Oktober yakni pada hari sabtu yang lepas.

Sebelum ini aku tidak pernah langsung membawa insan bergelar perempuan datang beraya kat rumah Ucu aku. Serius tak pernah langsung. Tapi pada hari sabtu yang lepas aku telah membawa insan yang paling aku sayang datang beraya. Ini memang sesuatu yang mengemparkan bagi institusi kekeluargaan Ucu aku. Hehehehe..

Alhamdulillah penerimaan Ucu amatlah baik sekali. Cuma aku ni je rasa gabra sikit. Al-maklum la ini kali pertama aku bawa perempuan datang beraya rumah Ucu. So sure ada cacat-celanya sikit tingkah laku aku pada hari tersebut. Juadah kuew teaw bandung menjadi saksi hari bersejarah kami pada hari tersebut.

Sebelum pulang Ucu ada berpesan pada sayang aku supaya selalu-selalu la datang ke rumah. Wahahaha.. Ucu dah bagi green light ni. Malamnya pulak teruk aku kena sindir dengan Ucu. Ucu sound bila lagi aku nak hantar diorang pergi merisik. Nasib baik duit aku tak banyak dalam bank. kalau tak dah lama aku suruh Ucu pergi merisik. Ada sesiapa nak support aku kahwin tak? (^_^)

Monday, October 5, 2009

Tribute To Yoshito Usui

Aku rasa ramai yang kenal budak lelaki berusia 5tahun yang nakal ni. Kelakuan suka melondehkan seluarnya, tarian punggung serta perangai seperti orang dewasa sure buat kita semua tersenyum setiap kali menonton anime dan membaca komiknya.

Pada 19september yang lepas kita di gemparkan tentang berita kematian Yoshito Usui (51tahun) iaitu pencipta watak kartun Shin Chan yang terkenal. Mayatnya ditemui dalam sebuah gaung di Gunung Arafune setelah keluarganya membuat laporan polis bahawa beliau tidak pulang ke rumah setelah keluar mendaki di gunung tersebut.

Usui merupakan sumber inspirasi aku dalam menghasilkan komik. Walaupun lukisannya kurang kemas dan terlalu ringkas tetapi gaya penceritaan serta idea yang dihasilkan benar-benar berkesan dan sentiasa berada di kelasnya yang tersendiri. Watak Action kamen yang diciptanya banyak menjadi rujukan bila aku menghasilkan Komik Kecempreng Man. Apapun yang hidup pasti akan mati. Aku doakan semoga roh mendiang Usui bersemadi dengan aman.

Wednesday, September 23, 2009

Hari Raya Ke 4 Baru Nak Ucap Salam Aidilfitri

Hari ni sudah masuk hari raya yang ke 4. Tapi rasanya masih sempat kalau aku nak ucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri pada korang semua. Saje je aku malas nak ucap selamat hari raya masa sehari sebelum raya yang lepas. Tak kira la korang puasa penuh sebulan atau puasa selang-selang. Hari ni puasa, esok tak puasa. korang semua tetap berhak raya sebulan jugak macam aku. Tapi dosa korang tak puasa tu jangan lak korang ajak aku tanggung sama-sama. Pandai sangat ponteng puasa, pandai-pandai la korang sendirian berhad tanggung dosanya.

Saja nak kongsi apa yang aku lakukan pada malam raya yang lepas. Dah bertahun-tahun rasanya aku bersara dari bermain mercun. Malam raya tu pulak adik sedara aku entah dari mana supplier jual bahan letupan dan senjata api dia jumpa pun aku tak tahu. Seguni mercun dia bawak balik rumah. Macam-macam mercun ada, telur naga ada, bunga api asap ada, bunga api stadium ada, tunder clap ada, thunder cat pun ada. So malam raya tu kitorang main mercun sampai nak muntah. Nasib baik takde kereta peronda polis yang datang rumah kitorang. Kalau tak, beraya dalam lokap la kitorang. Hehehehe.. Teringat zaman sewaktu bebudak main mercun. Nostalgia sungguh.

Di sebabkan mood raya yang masih menebal lagi ni, aku dengan bangganya menyeru korang semua ke kedai buku seperti MPH, MYnews, Kedai Buku Popular atau mana-mana kedai buku yang sewaktu dengannya. Pergilah beli buku komik-M Raya. Harganya murah RM6.90 di semenanjung Malaysia dan RM7.90 je di Sabah dan Serawak. Buat apa simpan saja duit raya yang korang dapat beratus-ratus tu. Gunalah duit raya tu untuk beli Komik-M Raya. Jangan lupa beli tau.. (^_^)

Thursday, September 10, 2009

Kad Raya Yang Datang Dari Syurga

Kalau korang nak tahu Selain Komik-M Raya, Produksi Komik-M juga ada menerbitkan sebuah lagi komik edisi special sempena sambutan Aidilfitri tahun ini. Tajuk Komik itu juga sangat unik seumpama tajuk sebuah lagu raya. Seperti Komik-M Raya, Komik Kad Raya Dari Syurga juga telah berada dipasaran sekarang.

Dibarisi penulis terhebat seperti Bahrudin Bekri, Nazri M. Annuar, Gild, Iman Qaisara, Panah Arjuna dan Pelukis komik berwibawa seperti Bop, 39, Mafia, Odows, Koma, Ard One, Xara Fatima serta Sitrahaslee pasti menjamin anda akan menanggis dan tersenyum pabila membaca komik Kad Raya Dari Syurga.

Covernya dihasilkan oleh seorang yang masih belum tahu beliau akan masuk syurga atau tidak. Beliau adalah Zamzami Mat Zain atau panggilan manjanya Tako. Sempena hari baik bulan baik ni, memanglah terlalu baik adanya korang semua pergi ke kedai buku berhampiran dan tanpa rasa segan silu membeli Komik Kad Raya Dari Syurga ini. Jangan lupa juga membeli Komik-M Raya. Kalau beli dua-dua komik ni, barulah raya korang lebih meriah dari menyambut hari raya cina mahupun hari raya Deepavali.

Hohoho.. Aku pun tengah menyiapkan Kad Raya Dari Syurga untuk sayang aku. Aku kasi korang tengok lakaran kad raya tersebut tapi korang jangan kasitau dia ek! Aku nak bikin suprise kat dia. Hehehe..

Friday, September 4, 2009

Tipah Tertipu Bang!

Aku cukup pasti dengan tanpa rasa was-was langsung bahawa kita semua mempunyai juadah berbuka puasa yang boleh diketogerikan juadah wajib setiap kali tiba Bulan Ramadhan yang mulia ini. So Juadah wajib aku adalah kueh Tepung Pelita.

Bila waktu petang menjelma, aku akan sibuk ke pasar Ramadhan mencari kueh itu untuk dijadikan juadah berbuka puasa aku. So ada la satu hari tu aku beli kueh tu dari seorang makcik yang meniaga kat pasar ramadhan Seksyen TUUTTT.. Shah Alam (terpaksa di hiddenkan supaya tidak berlaku saman menyaman di dalam atau luar mahkamah).

Dengar je azan Maghrib berkumandang dari surau berdekatan, aku dengan penuh berselera menjamah kueh tepung pelita tersebut. Mak datuk oii.. dia punya rasa sampai aku sendiri pun takde rasa apa-apa. Takde rasa manis, takde rasa apa pun. Tawar je rasanya. Aku tak pasti mak cik yang meniaga tu buat kueh ni memang sengaja tak letak gula kerana dia ada penyakit kencing manis atau memang tak mahu letak gula sebab nak kaut untung lebih.

Mahu saja aku buat laporan pada Persatuan Peniaga Kueh Tepung Pelita (PPKTP) supaya diorang tarik lesen mak cik tu dari meniaga kueh tersebut. Kalau macam ni rasa Kueh Tepung Pelita mak cik jual, baik mak cik tak payah meniaga jual kueh tepung pelita, baik mak cik niaga pelita je. Disebabkan hot temper kat mak cik la pahala puasa saya berkurangan pada hari itu. Lepas ni confirm gerai mak cik masuk senarai black list saya. Saya tak nak jadi Tipah Tertipu lagi. Huhuhu..

Monday, August 31, 2009

Bangun Sahur Yang Keliwon

Pagi tadi aku rasa aku macam mengalami pengalaman bersahur yang aneh. Biar aku cerita satu- persatu retetan peristiwa aku bangun sahur pagi tadi agar korang dapat klafikasikan ianya aneh atau tidak aneh.

Malam tadi aku tidur lewat sikit kerana Layan DVD Cap cetak rompak. Aku rasa tidur aku boleh tahan la lenanya pagi tadi. Tiba-tiba aku terjaga dari lena bila terdengar bunyi pintu bilik aku diketuk. Aku tengok jam kat hanset menunjukkan pukul 5.12 pagi. Ni sure Ucu aku yang ketuk pintu coz memang setiap hari sejak bulan puasa memang dia akan bangun dan ketuk pintu bilik aku untuk kejutkan aku bangun sahur. Aku pun dalam mamai-mamai baru bangun tidur menuju ke dapur untuk bersahur bersama ucu aku.

Tapi bila sampai je kat ruang dapur, aku tengok takde sape pun yang bersahur. Tudung saji yang menutup makanan tu pun aku rasa elok je keadaannya macam malam tadi sebelum aku masuk tidur. Macam tak terusik pun. Aku fikir mungkin ucu aku dah masuk tidur semula kot lepas bersahur tadi. Dalam keadaan yang sedikit kebingungan aku minum air suam segelas bersama 3 biji buah kurma dan masuk bilik semula untuk sambung waktu tidur aku yang terbantut tadi.

So bangun pagi pukul lapan lebih tadi aku bertanya la pada ucu aku adakah dia bangun sahur tak pagi tadi. Ucu cakap dia tak larat bangun sahur pagi tadi sebab letih sangat dan mintak maaf kat aku sebab tak kejutkan aku bangun sahur. Jawapan ucu aku tu buat aku terdiam seketika. Kalau bukan ucu aku yang ketuk pintu, sapa pulak yang ketuk pintu bilik kejutkan aku bangun sahur subuh tadi?

Ahh! tak kisah la siapa yang kejutkan aku sahur pagi tadi. Kalau boleh nak minta hari-hari la dia tolong ketukkan pintu bilik aku supaya senang aku bangun sahur. Hehehe.. Jom kita layan Vclip dari The Lucky Laki dengan lagu Superman. (Lagu ni special aku tujukan pada sayang aku yang sekarang ni berada di kampung halamannya)

Sunday, August 23, 2009

Komik-M Raya

Ya adik-adik, abang-abang, kakak-kakak, mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik sekelian. Yang jauh tu mari datang dekat, yang dekat tu mari rapat-rapat. Saya bukan nak jual ubat, tapi saya nak jual Buku komik. Ini bukan buku komik sebarangan. Ini buku Komik-M edisi Raya punya. (^_^)

Kepada yang ada sakit Sengal-sengal badan di bulan Ramadhan, malam sukar mahu tidur kerna terkenang famili di kampung halaman, kencing tidak lawas akibat over dose masa berbuka puasa tadi, Sakit-sakit kepala sebab memikirkan bajet untuk raya tahun ini, tidak boleh senyum sejak dari lahir lagi, bukan mahu cakap besar tapi inilah kenyataannya. InsyaALLAH buku komik ini dapat menyembuhkan penyakit-penyakit yang saya sebutkan tadi.

Komik ini banyak komik ya saudara dan saudari. Ada komik Kecemprengman, Lili Lulu Lala, TwinX, Liga Pendekar, Orang Kuat, Shootz!, Kartini, Langkamaya, Hibrid & Budak Takraw. Bukan saja di tanggung halal. Malah di tanggung puas hati. Boleh di jadikan hadiah kepada sanak-saudara tercinta di pagi Aidilfitri nanti.
Jika semua tidak percaya akan kemurajaban komik ini. Nah! saya preview 1 page dari komik ajaib ini. Hahahaha.. menarik bukan. Itu baru tengok 1page, belum tengok semua page lagi. Jadinya tuan-tuan dan puan-puan jangan segan mahu beli buku komik ini. Jika tidak membeli buku komik ini, nescaya hari raya tuan-tuan semua terasa tidak meriah umpama rumah yang tidak dipasang lampu kelip-kelip di malam raya.

Untuk memberi hiburan duniawi kepada tuan dan puan sekelian, saya takkan hidangkan air sirap bandung kerana saya tahu sekarang ni bulan puasa. Jadi saya hidangkan videoClip terbaru dari band HUJAN dengan lagu mencari Konklusi. Salam Ramadhan untuk anda semua. Enjoy your life!

Thursday, August 20, 2009

Aku Dan Train KTM Komuter

Aku memang memiliki sebuah kereta. Kereta aku pun cumil macam aku jugak. Tapi aku tak pernah drive kereta aku pergi Kuala Lumpur or mana-mana destinasi yang jauh selain sekitar Shah Alam dan Klang. Aku ni jenis tak hafal jalan. Mudah sesat kalau bawa kereta sorang-sorang. Kalau niat dalam hati nak drive pergi Kuala Lumpur, sure aku boleh tersilap masuk simpang jalan dan tersesat sampai kat Kuantan, Pahang. huhuhu..

So bagi menyelesaikan kelemahan itu, naik train KTM komuter la setiap kali aku berulang alik dari Shah Alam ke Kuala Lumpur kalau ada urusan rasmi atau kurang rasmi. Takpe la, sekurang-kurangnya aku jadi penyumbang bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas di jalan raya (ayat ni cuma nak sedapkan hati aku je sebenarnya).

Tetapi ada kalanya aku kurang selesa nak mengunakan perkhidmatan KTM ni. Salah satu sebabnya ialah kebanjiran penumpangnya yang kebanyakan bukan warga Malaysia. Ada dari Indonesia, ada dari Myamar, ada dari Bangladesh, ada dari Afrika, ada dari Sri Langka dan banyak kaka lagi..

Boleh dikatakan kebanyakan dari mereka banyak menyumbangkan bau-bauan yang tak pernah terfikir dek akal fikiran aku. Bukan nak kutuk la tapi kalau dah angkat tangan sampai ketiak boleh keluarkan bau nasi goreng basi, siapa yang boleh tahan beb! Walaupun sekarang ni aku selalu memakai topeng sebab gejala infelunza H1N1, bau nasi goreng basi tu tetap boleh menembusi lapisan topeng aku tau.

Ini pesanan untuk Bahagian Pentadbiran KTM komuter, sila sediakan deodorant di setiap pintu train komuter anda agar dapat digunakan oleh mereka-mereka yang berbau nasi goreng basi itu. Pesanan ini ikhlas dari seorang manusia yang sering bergelut dengan nyawa ketika bernafas di dalam topeng.

Monday, August 10, 2009

Pejuang Bertopeng

Walaupun Ucu Perempuan aku bukanlah penceramah bebas, tapi dia suka memberi ceramah secara sukarela kepada aku bila setiap kali aku bersiap-siap nak keluar rumah.

Dalam ceramahnya selalu menasihatkan aku agar mengurangkan aktiviti di luar rumah. Nak pulak yang dia tahu aku selalu turun Kuala Lumpur atas urusan penghantaran artwork komik mahupun atas urusan berdating dengan sayang aku. Hehehe..

Tambah Ucu aku lagi, dia risau aku akan terkena jangkitan H1N1 yang sedang mengganas di seluruh dunia sekarang ni. Ketika entry ini ditulis, sudah 32 orang disahkan meninggalkan dunia yang fana ini akibat jangkitan virus tersebut.

Ucu juga menyarankan agar aku mengunakan topeng setiap kali berada di kawasan tumpuan orang ramai. So kebelakangan ini sejak aku selalu memakai topeng, ada kalanya aku terasa diri aku macam pejuang bertopeng Kamen Riders. Hiap! Bertukar..!!


Oh ya! Sebelum terlupa. Kepada adik-adik yang berumur dalam lingkungan 10 hingga 13tahun, jemputlah datang ke medan selera di KLsentral pada 15ogos ini jam 11.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Di sana nanti ada acara bersembang-sembang bersama Kartunis Komik OKA, sesi fotografi, makan-makan (sdn bhd), demo melukis dan banyak lagi. Tapi adik-adik jangan lupa tau pakai topeng kalau nak pergi nanti. (^_^)


Informasi terkini tapi bukan hiburan sensasi

Sesi 'sembang-sembang bersama Aliow dan Totoro' akan ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak berikutan kes H1N1 yang semakin menular. Harap maklum...

Thursday, August 6, 2009

Nancy Drew

Assalamualaikum, sari berita penting. Hehehe.. Macam baca berita la pulak. So untuk kali ini aku nak bercerita tentang Nancy Drew, bukan Nancy Foo. (Nancy Foo adalah pelakon wanita berbangsa cina yang sering berlakon dalam drama-drama melayu pada satu ketika dulu. Sekarang ni aku rasa dia dah pencen berlakon kot).

Nancy Drew adalah sebuah majalah Info-Nomik terbitan penuh kreatif ONE NUSANTARA SDN BHD yang menampilkan komik Nancy Drew (girl detective) menyelesaikan kes-kes tahap misteri nusantara. Majalah ini amat sesuai dijadikan bahan rujukan bagi sesiapa yang bercita-cita menjadi penyiasat persendirian. Nanti boleh la siasat kenapa setiap kali tiba musim perayaan je, bekalan gula menjadi kurang dan amat sukar diperolehi di pasaran dalam negara.

Bagi keluaran sulung majalah Nancy Drew ini juga menyajikan infomasi tentang industri komik dan novel dalam negara. Juga menyelitkan sebuah cerpen misteri lagi thirller dari penulis negara matahari terbit, Akagawa Jirou. Buat masa ini, aku belum pernah lagi dengar ada negara matahari terbenam. Huhuhu..

Dan yang paling best dalam majalah Nancy Drew ni, ada colum Nomik, Previu & Interbiu yang menampilkan diri aku sendiri bagi mempromosikan komik Kecempreng Man. So baik korang dapatkan segera majalah ni di kedai-kedai buku berdekatan dengan kawasan perumahan korang kerana dalam colum itu aku menjawab 5 soalan paling susah untuk aku jawab. Nak tahu apa soalannya, bacalah sendiri lepas beli majalah ni nanti. Wahahaha..

Sunday, July 5, 2009

Wanzu bertanya "Bila Nak Siap Daa..?''

Ini merupakan soalan yang sedang menghantui aku siang dan malam. Soalan yang buat aku kurang selera nak makan. Soalan yang membuatkan berat badan aku turun mendadak. Soalan yang bikin aku jadi cuek, eh! silap... Bikin aku cuak. (^_^)

Sehingga jam entri ini di postkan, aku hanya tinggal cuma 2page sahaja lagi bagi melengkapkan keseluruhan cerita komik ini. Walaupun cuma tinggal 2page, tapi aku rasa macam 200page. Hope hari ini aku dapat settlekan semuanya.. Amin.

Saturday, July 4, 2009

Transformers 2

Siapa lagi yang belum berkesempatan untuk menonton filem Transformers 2 : Revenge Of The Fallen baik korang tinggalkan pape kerja yang korang buat sekarang dan bergegas ke kaunter tiket panggung wayang yang terdekat. Memang puas hati tengok robot bergasak dengan robot.

Aku menonton filem ni pun time kerja. Sanggup aku ponteng kerja semata-mata nak tengok Optimus Prime mati dan hidup semula dalam filem ni. Kalau bos aku tahu aku ponteng kerja pergi tengok wayang, mesti bos aku nak ikut sama. Wahahaha..

Rasanya macam tak puas tengok sekali je, so aku bercadang akan menonton sekali lagi. menonton dengan siapa? Yang pastinya bukan dengan bos aku la..


So sempena sambutan tayangan filem Transformers 2 ni, silalah jamu mata dengan lukisan aku yang tak seberapa ini.

Bagi yang belum menonton lagi, aku sertakan latest trailer bagi filem ni. Semoga korang termimpi-mimpi dikacau Megatron malam nanti selagi korang tak pergi menonton filem ni. Wahahahahaha..

Tuesday, June 30, 2009

Ini Bukan Cerita Samseng Kampung Dusun

Last weekend aku dan adik-adik sedara aku dikerah tenaga pergi ke dusun durian ucu aku kat area Langat. Serius cakaplah, selama 2 hari aku kat dusun tu aku lebih banyak makan durian berbanding makan nasik. Nasib baik la takde pape jadi pada aku. Tak macam Ucu aku, baru makan 2 ulas durian dah kena demam panas.

Selain durian, terdapat juga pokok buah-buahan lain seperti langsat, manggis , cempedak dan juga rambutan ditanam kat dusun tu. Walaupun kami semua diselubungi dengan berita sedih tentang kematian Michael Jackson, kami tetap bergembira sambil menikmati kelazatan buah-buahan segar yang kami petik dari dusun.

Gambar yang kat atas ni bukan gambar orang asli tau. Ni gambar adik sedara aku panjat pokok manggis. Ucu tak bagi aku panjat pokok sebab takut semua pokok manggis dia nanti terbenam dalam tanah. Cesss...!! Mentang-mentang la badan aku kiut macam Afdlin Shauki.