Monday, July 23, 2012

Puasa 2012



Salam Ramadhan buat semua. Fuh! lama sungguh blog ini dibiarkan sepi. Rasa kekok bila mahu memulakan sesuatu yang sudah lama tidak dilakukan. Alhamdulillah, kita baru melepasi ibadah puasa untuk hari yang ketiga. Semoga amalan kita semua diterima Yang Maha Esa.

Yup.. Akhirnya aku berjaya menonton The Dark Knight Rises setelah 'dibakar' oleh kawan-kawan yang terlebih dahulu berkesempatan menonton bahagian terakhir Trilogi Batman di bawah arahan Christopher Nolan. Duduk di dalam pawagam selama 2jam 44minit pasti akan mengundang rasa 'lemau' jika jalan cerita yang disajikan bergerak agak perlahan ditambah pula watak antogonis kali ini, Bane yang tak sehebat lakonan Mendiang Heath Ledger sebagai Joker dalam The Dark Knight.


Akhirnya tempoh 2jam 44minit itu hanya mampu bikin aku melupakan buat sementara waktu perasaan lapar ketika puasa. Keluar pawagam, pemikiran aku kembali pulih semula dan rasa lapar kembali menguasai diri. Sampaikan lihat fesyen rambut orang pun boleh buat aku terbayangkan Choco Top McD.


Saturday, March 24, 2012

Dunia Kartun : Lawak budak sekolah

Tanggal 16Mac adalah hari yang di nanti-nantikan oleh seorang pelukis kartun/ komik seperti aku. Pada tarikh tersebut, buku komik LBS hasil lukisan tangan sendiri di susun di atas palet kayu dan diangkat jentera foklif lalu dimasukkan ke perut lori untuk proses pemindahan dari kilang percetakan ke stor milik syarikat penerbitan. Di stor pula nanti kedatangan lori disambut oleh abang-abang yang gagah dan di sinilah akan bermula proses-proses menyusun, merekod dan sebagainya. Seterusnya ketua editor PTS POP tanpa segan-segan akan menelefon bagi memaklumkan berita gembira ini kepada diriku.

18Mac aku bergegas ke Opis PTS yang terletak di Batu Caves dengan jantung yang berdegup-degup kencang seperti saat cemas seorang bapa menanti isterinya melahirkan cahaya mata mereka. Sangat resah perasaan aku ketika itu. Ditemani hujan lebat aku selamat sampai ke destinasi yang di tuju. Tangan aku diramas-ramas mesra tanda berjabat tangan menghulurkan salam dengan sekalian editor Unit PTS POP (editor berjantina lelaki sahaja, perempuan dikecualikan). Seterusnya mereka hulurkan senaskah komik LBS dengan senyuman yang tak lengkang-lengkang di wajah mereka. Pabila aku menyentuh komik LBS terasa seperti aku sedang mendukung bayi yang baru lahir. Sangat feeling suasana ketika itu.

Yup.. itulah serba sedikit kronologi saat-saat pertama kali memegang komik solo sendiri. Walaupun ini adalah merupakan komik solo buat kali ketiga, feelnya tetap sama. Terima kasih buat team Komik-M yang berkerja keras merealisasikan komik LBS. Dan kini aku menantikan saat-saat melihat komik LBS berada di rak-rak kedai buku seluruh tanahair. Debaran terus terasa memikirkan bagaimanalah nasib komik-komik LBS yang sudah disusun di rak-rak buku nanti..


Cerita pasal kedai buku, teringat Kedai buku POPULAR. Pada 10 dan 11Mac lepas, bersama Bophairy, Reja, Froggypapa dan Alif menghadirkan diri di Pesta Buku POPULAR Sunway Carnival Mall, Penang dan Star Parade, Kedah. Sangat bertuah kerana sempat bertemu dengan Encik Mohamad Azahari (yang diapit Froggy dan Bop dalam gambar). InsyaALLAH panjang umur murah rezeki kita jumpa lagi (^_^)

18Mac pula di Pesta Buku POPULAR Central Market. Ini gambar sebelum kami beredar ke KFC bagi mengisi tenaga yang kehabisan ketika promosi tadi. Ops! lupa pula nak beritahu, ketika di Penang, dengan bantuan Reja, Froggy dan Bop, aku ada shoot iklan pendek untuk promosi Komik LBS. Serius iklan ini ada sedikit kecacatan yang memang tidak disengajakan. Ribuan kemaafan diminta buat pelukis Komik Smash 20. Maafkan kami.. Niat nawaitu sebenar aku mahu mempromosikan sekali komik Smash 20 namun atas kesilapan teknikal dan kurangnya ilmu di dada berkaitan shooting-shooting video ini, maka inilah yang terhasil. Namun ianya spontan dan kelakar juga walaupun boleh diketogerikan kelakar gelap (dark joke). Memang layaklah di komen Kekekeji. Hehehehe...



Monday, March 5, 2012

3Mac Yang Lepas...

Alhamdulillah.. 3Mac lalu aku sudah berumur 33 (aku semakin tua tetapi perasaan tetap muda remaja. Cheewahh..). Sebenarnya aku sangat terharu dengan insan yang sanggup bersusah-payah menghadiahkan kek birthday yang superb special pernah aku lihat seumur hidup ini. Saya sayang awak seketat-ketatnya (^_^). Selain itu, bulan Mac juga adalah waktu yang membuatkan bahagian paru-paru rasa berdebar-debar seperti denyutan jantung seekor kucing dikejar UFO.

Merujuk kepada gambar iklan di atas (sila abaikan perkataan 'Karya hebat'), hanya itulah karya solo yang telah dihasilkan oleh aku. Pelukis-pelukis yang start melukis lebih lewat dari aku pun sudah ada 5, 6 buah komik solo. Untuk perancangan tahun 2012 ini sememangnya sangat-sangat berharap akan keluar produk komik solo terbaru. Dan berpandukan maklumat dari Ketua Editor, status komik solo aku buat masa ini bolehlah diibaratkan seperti sudah masuk ke bilik wad bersalin. Tinggal tunggu masa je untuk bersalin.


Dunia Kartun : Lawak Budak Sekolah (LBS) bolehlah disamakan dengan buku latihan sekolah yang diconteng-conteng. Lukisannya juga seperti lukisan budak sekolah rendah. Harapan aku korang tidak terkejut melihat lukisan yang buruk malah lebih buruk dari lukisan-lukisan buruk yang aku lukis sebelum ini. Hehehe... Kaver LBS dilukis oleh Jimi (staff editor yang paling latest menyertai team Komik-M). Kalau ikutkan perancangan, akan ada sambungan LBS#2 dan aku berjanji LBS#2 pasti lebih baik dan lebih best dari LBS#1. Tapi yang lebih penting sekarang, korang kena beli Komik LBS bila sudah masuk kedai buku nanti.. Opps! Tetapi bukan setakat beli komik LBS sahaja. Kerana... Jeng.. Jeng.. Jeng..


Bulan Mac ini Komik-M juga akan terbitkan 4komik sekaligus. Selain Komik LBS, ada Komik Amylea#2 karya Jon Suraya, Meon#5 karya Jas dan Komik Opie & Jaja karya Bophairy. Superb mantap komik mereka-mereka ini. Jangan malu-malu mahu membeli. Sokongilah industri komik tempatan. Sokongan dari anda amat kami hargai. Hanya ALLAH yang dapat membalas budi baik anda. Amin..


Selain itu, mahu beri sedikit pribiu tentang komik antologi hasil karya aku yang akan keluar dalam tahun 2012. Kali ini akan terbit siri komik Diari Profesor Madya Karumalai : saya sayang amma! Serius komik ini sangat sedih hingga menyentuh ulu hati dan ulu hempedu. Sila sediakan tisu secukupnya bila membaca komik ini nanti. Yang paling aku mahu beri penekanan ialah moral of the story di sebalik diari komik ini.


Yang ini pula Komik Antologi Cinta. Sudah lama tidak melukis Kecemprengman, maka untuk AKC#2 ini berlatarbelakangkan kisah Kecemprengman VS Karim Pop. Ada aksi pertarungan hebat bakal meletus di tengah-tengah ibukota Metro Cyber. Sebenarnya ketika aku menaip entry ini, Komik ini masih belum siap sepenuhnya. Hehehehe..


Akhir sekali, Jangan lupa mendapatkan Komik Antologi 'Aku, Kau & Komik#3. Sepatutnya sudah masuk kedai buku. Sila dapatkan secepat mungkin. Jika masih tidak jumpa di kedai buku, tunggu sahaja bulan April nanti di PWTC Kuala Lumpur. Boleh dapatkan Aku, Kau & Komik#3 malah semua komik-komik Keluaran Komik-M di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2012. InsyaALLAH ada sesi 'beramas mesra' dengan pelukis-pelukis Komik-M. Wahahaha..

Saturday, January 28, 2012

786 Alhamdulillah Syukur

Sejak masuk tahun 2012, hati aku sering dilanda rasa 'goyang' untuk menempuh hidup yang penuh dengan onak, duri dan rintangan. Tahap keyakinan diri sangat nipis senipis Samsung Galaxy tab. Aku bolehlah diibaratkan bagai seorang nelayan yang bersampan di tengah-tengah lautan bergelora. Di dalam laut yang bergelora itu pula dipenuhi pelbagai spesis ikan-ikan jerung yang seakan tidak sabar mahu membaham dan mengoyak-goyakkan daging aku yang lembut-lembut batang pinang ini. Sudahlah lembut, manis pulak tu. Hinggalah satu hari aku ditemukan dengan peristiwa yang menyedarkan aku betapa aku ini berkali-kali lebih beruntung dari orang lain di atas muka bumi ini.

Mata aku sendiri menyaksikan keajaiban dunia ciptaan agung Yang Maha Esa. Menyaksikan bagaimana seorang insan buta matanya dapat melepasi halangan yang kadang-kala insan celik seperti aku juga tidak boleh lepasi jika kurang berhati-hati dan berwaspada. Otak aku bagai dijentik agar cepat-cepat bangun dari rasa 'down' yang tak bertepi. Jika insan kurang upaya pun boleh hadapi dugaan dan cabaran yang telah ditentukan untuknya, kenapa pula aku yang sempurna cukup sifat ini boleh cepat mengalah apabila berhadapan dengan dugaan dan masalah dunia. Yeah! Aku kena bangun semula dan berlari laju setelah jatuh agar tidak tertinggal jauh di belakang.


Bagi membuktikan yang aku sedang berlari sekarang ini, aku perlihatkan sebuah loose untuk projek komik yang masih dirahsiakan dari pengetahuan umum. Selepas ini mungkin akan curi-curi masa untuk cuba menyelitkan diri di sebuah majalah humor pula. Doakan semuanya berjalan lancar.



Dan nantikan Komik antalogi 'Aku, Kau & Komik #3 InsyaALLAH akan terbit bulan Februari ini. Ada sebuah komik lukisan aku yang bertajuk 'Kedai Komik Pak Majid'. Terima kasih buat barisan editor Komik-M yang banyak menyokong perjalanan seni aku. Tanpa mereka, mungkin nama 'Poyo' tidak dikenali ramai orang. 786 alhamdulillah syukur..