Khamis, 12 febuary selepas aku singgah ke Opis PTS jumpa Editor Komik-M, aku bergegas pula ke KLCC sebab nak kejar showing Ong Bak 2 pukul 5.00 petang di TGV. Nasib baik sempat. Aku teruja sangat tengok trailer filem Tony Jaa ni kat internet. Ini la filem pertama yang aku tonton kat pawagam untuk tahun 2009.
Arahan bersama Tony Jaa dan Panna Rittikrai sememangnya lebih ganas daripada filem Ong Bak yang pertama. Lakonan hebat Tony Jaa ketika bertarung, membunuh mahupun menundukkan gajah kelihatan sangat gagah dan sebati dengan setiap alat senjata. Malah kostum dan set penggambaran filem ni mengingatkan aku pada filem Apocalypto arahan Mel Gibson.
Mengisahkan tentang Tien (Tony Jaa), seorang kanak-kanak yang dilahirkan dalam keluarga pahlawan dan menjadi yatim piatu apabila keluarganya dibunuh oleh pembelot kerajaan, Tuan Rajasena (Saranyu Wongkrajang).
Tuan Rajasena yang zalim dan tamakkan kuasa telah merancang untuk merebut tampuk pemerintahan negara. Dia telah menghantar pembunuh upahan bagi membunuh keluarga Tuan Sihadecho (ayah Tien) serta tentera-tenteranya yang taat setia. Satu-satunya orang yang terselamat dari pembunuhan kejam tersebut adalah Tien yang berjaya dilarikan oleh salah seorang tentera bawahan.
Tien kemudiannya ditangkap dan hampir-hampir dibunuh oleh pedagang hamba abdi sebelum diselamatkan oleh Chernang (Sorapong Chatree), ketua bagi Sayap Garuda iaitu pasukan gerila terbilang. Kagum dengan semangat pertarungan dan naluri membunuh dalam diri Tien, Chernang mengambilnya sebagai anak angkat dan membesarkannya sebagai penyamun.
Tien lantas dewasa dengan memiliki kemantapan pelbagai jenis ilmu seni bela diri dan strategi peperangan termasuklah pertarungan satu lawan satu, tinju, bacaan mantera serta kemahiran-kemahiran mengendalikan senjata-senjata peperangan seperti pedang, pedang lengkung, belantan dan bahan letupan.
Dengan kemahiran pelbagai jenis seni bela diri yang tertanam dalam dirinya, Tien membesar dewasa menjadi seorang pejuang seni bela diri. Dengan menguasai gading hitam gajah suci yang dihormati oleh golongan penyamun, Tien diterima menjadi salah seorang pemimpin Sayap Garuda yang bakal menggantikan Chernang.
Namun begitu, satu-satunya perkara yang tersimpan dalam fikirannya hanyalah dendam yang ingin dilunaskan dengan membunuh Tuan Rajasena dengan tangannya sendiri. Dia bercadang untuk membalas dendam pada malam upacara pertabalan di mana Tuan Rajasena bakal menaiki takhta dan berkuasa penuh sebagai pemerintah monarki.
Korang nak tahu apa kesudahan kisah Tien ni. Rasanya lebih baik korang tonton sendiri filem ni. Bagi aku filem ni memang kena dengan citarasa aku yang sememangnya sukakan filem yang ada fighting-fighting ni. Memang layan beb!!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment